Altruisme dalam psikologi dan sosiologi Altruisme

Jika seorang melakukan sesuatu perbuatan yang memanfaatkan orang-orang lain dengan tujuan untuk mendapat sesetengah manfaat peribadi, jadi perbuatan itu bukannya sesuatu yang didorong oleh altruisme. Terdapat beberapa sudut pandangan tentang bagaimana "manfaat" (atau "faedah") harus ditakrifkan. Keuntungan kebendaan (umpamanya wang, ganjaran fizikal, dan sebagainya) jelas merupakan satu bentuk manfaat, sedangkan orang-orang lain mengenal pasti dan memasukkan kedua-dua keuntungan kebendaan serta yang bukan kebendaan (kasih sayang, rasa hormat, kebahagiaan, kepuasan, dan sebagainya) sebagai manfaat-manfaat yang serupa dari segi falsafah.

Menurut egoisme falsafah, sedangkan orang-orang dapat menonjolkan tingkah laku altruisme, mereka tidak boleh mempunyai dorongan altruisme. Ahli-ahli egoisme falsafah mengatakan bahawa sedangkan mereka mungkin menghabiskan masa hidup mereka untuk memanfaatkan orang-orang lain tanpa sebarang manfaat kebendaan (atau kerugian kebendaan bersih) kepada diri mereka, tujuan mereka yang paling asas untuk berbuat demikian sentiasa merupakan pengejaran kepentingan diri. Umpamanya, mereka akan mengatakan bahawa tujuan asas seseorang untuk bertindak sedemikian adalah untuk memajukan kesejahteraan psikologi ("perasaan baik") diri mereka. Para pengkritik sering menolak teori ini atas sebab ketakbolehbuktian; dengan kata yang lain, teori ini direka bentuk dengan cara yang menyebabkannya tidak dapat dibuktikan betul atau salah — kerana keuntungan yang bukan kebendaan, seperti "perasaan baik", tidak dapat diukur atau dibuktikan dalam semua orang yang melakukan perbuatan-perbuatan altruisme. Egoisme psikologi telah dituduh kerana menggunakan logik kitaran: "Jika seorang sanggup melakukan sesuatu perbuatan, itu bermakna bahawa orang ini mendapat keseronokan peribadi daripada perbuatannya itu; oleh itu, orang-orang hanya melakukan perbuatan yang memberi mereka keseronokan peribadi". Kenyataan ini adalah tidak masuk akal kerana simpulannya adalah sama sahaja dengan hipotesisnya (ia mengandaikan bahawa orang-orang hanya melakukan perbuatan untuk memberikan mereka keseronokan peribadi, dan menyimpul bahawa orang-orang hanya melakukan perbuatan yang memberikan mereka keseronokan peribadi).

Berbeza dengan egoisme psikologi, hipotesis altruisme empati menyatakan bahawa ketika seorang individu mengalami empati terhadap seseorang yang memerlukan bantuan, individu itu akan didorong oleh altruisme untuk membantu orang ini; iaitu, individu itu akan mengambil berat, terutamanya, tentang kebajikan orang ini dan bukan kebajikan diri sendiri. Dalam bahasa umum, altruisme biasanya bermakna memberi bantuan kepada orang lain tanpa menjangka sebarang ganjaran kebendaan daripada orang itu atau orang-orang yang lain, walaupun perbuatan itu mungkin akan melibatkan "manfaat" dalaman seperti "perasaan baik", kepuasan, penghargaan diri, penunaian kewajipan (baik dikenakan oleh agama mahupun oleh ideologi, atau hanya disebabkan hati nurani), atau sebagainya. Oleh itu, seseorang tidak perlu meneka niat-niat seorang yang melakukan perbuatan-perbuatan altruisme.

Manusia bukan sahaja menunjukkan sikap altruisme kepada ahli-ahli keluarga, rakan-rakan dahulu, atau bakal sekutu-sekutunya, tetapi boleh menunjukkannya kepada orang-orang yang mereka tidak kenal dan tidak akan berjumpa. Umpamanya, sesetengah manusia mendermakan kepada pertubuhan-pertubuhan amal, dan bersukarela untuk membantu orang-orang yang kurang bernasib dalam masyarakat. Adalah tidak mungkin bagi sesiapa untuk mendakwa bahawa kesemua perbuatan altruisme dilakukan dengan pengharapan balasan. Analisis teori permainan untuk strategi 'kalau-kalau' yang berdasarkan prinsip, "selalu membantu setiap orang kalau-kalau anda memerlukan pembalasan", adalah satu strategi yang nyata sekali tidak optimum kerana perbelanjaan bersih untuk usaha-usaha (tit) jauh melebihi keuntungan bersihnya ketika perbuatan-perbuatan itu sekali sekala mendapat pembalasan (tat).

Menurut sesetengah orang, adalah susah untuk mempercayai bahawa tingkah-tingkah laku itu dapat diterangkan hanya melalui kerasionalan penting diri lampau, baik sedar mahupun tidak. Perumusan matematik untuk pemilihan keluarga yang lebih kurang macam dilema banduan boleh membantu, tetapi apa yang penjelasan teori permainan itu tidak mempertimbangkan adalah bahawa tingkah laku altruisme boleh berasal daripada satu fenomena nyata yang penuh misteri, iaitu hati naluri. Ahli falsafah Daniel Dennett telah mengemukakan satu cadangan ketika mempertimbangkan masalah penumpang percuma dalam tragedi kebaikan umum, satu versi dilema banduan pada skala yang lebih besar.

Dari segi teori permainan, 'penumpang bebas' ialah seorang egen yang menerima manfaat daripada masyarakat koperasi tanpa membuat sebarang sumbangan. Dalam keadaan satu lawan satu, perbuatan penumpang bebas dapat tidak digalakkan dengan mudah dengan strategi balas balik. Bagaimanapun dalam sebuah masyarakat yang lebih besar, dan yang mengumpulkan dan berkongsi sumbangan dan manfaat, penumpang bebas adalah amat susah untuk dielakkan.

Andaikanlah sebuah masyarakat mudah yang terdiri daripada organisma-organisma yang bekerjasama. Ejen-ejen kerjasama itu saling bertindak antara satu sama lain, dengan setiap organisma membuat sumbangan dan menerima daripada kebaikan umum. Kemudian, andaikanlah satu penumpang bebas penyangak, iaitu satu ejen yang menerima manfaat ("anda menggaru bahagian belakang saya") tetapi kemudian enggan membalasnya. Masalahnya adalah bahawa perbuatan penumpang bebas itu akan sentiasa memanfaatkannya sehingga mengorbankan masyarakat. Bagaimanakah ajen-ajen kerjasama yang bertingkah laku baik dapat mengelakkan penipuan? Melalui banyak generasi, satu penyelesaian yang nyata adalah untuk ejen-ejen kerjasama itu mengembangkan keupayaan untuk mengecamkan penumpang-penumpang bebas lebih dahulu dan enggan memulakan sebarang perikatan bersaling dengan mereka. Dengan itu, tindak balas penumpang bebas berkanun adalah untuk mengembangkan penyamaran yang lebih dapat meyakinkan ejen-ejen kerjasama dan menipu mereka supaya "bekerjasama" pada akhirnya. Ini boleh menyebabkan perlumbaan senjata evolusi, dengan kedua-dua penyamaran dan pengesanan menjadi semakin canggih.

Dalam perlumbaan senjata evolusi ini, apakah cara yang terbaik untuk meyakinkan rakan-rakan bahawa seseorang benar-benar merupakan ahli kerjasama sebenar, dan bukannya seorang penumpang bebas yang menyamarkan diri sebagai ahli kerjasama? Salah satu cara ialah untuk benar-benar menjadikan diri sebagai ahli kerjasama sebenar melalui mewujudkan perintang-perintang psikologi supaya dapat mengelakkan mungkir janji-janji, dan mempromosikan fakta ini kepada setiap orang. Dengan kata yang lain, satu penyelesaian yang baik ialah untuk organisma-organisma mengembangkan perkara-perkara supaya setiap orang mengetahui perkara-perkara itu akan menyebabkan mereka menjadi ahli-ahli kerjasama — dan menegaskannya dengan ketara bahawa merekalah yang mengembangkan perkara-perkara itu. Oleh itu, evolusi akan menghasilkan organisma-organisma yang jujur dari segi kesusilaan; dengan pendek kata, evolusi akan menimbulkan fenomena hati naluri.

Teori ini, bersama dengan idea-idea pemilihan keluarga dan perkongsian manfaat satu dengan satu, mungkin dapat menjelaskan bagaimana satu proses yang buta dan pada dasarnya mementingkan diri dapat menghasilkan sejenis altruisme sebenar yang bukan sinis dan yang menimbulkan hati naluri manusia.

Pengkritik-pengkritik terhadap analisis teori permainan teknik menunjukkan bahawa teori ini kelihatan terlupa bahawa manusia adalah rasional serta beremosi. Mana-mana satu teori yang menganalisis tingkah laku manusia tanpa merangkumi kerasionalan atau emosi manusia adalah terlalu sempit dan tidak realistik. Selain itu, teori ini mengandaikan manusia seolah-olah mereka hanya merupakan mesin yang kekadang dipanggil Homo economicus. Lagi satu bantahan adalah bahawa orang-orang sering membuat pendermaan tanpa menyatakan nama dan oleh itu, penentuan adakah mereka benar-benar melakukan perbuatan altruisme merupakan sesuatu yang mustahil.

Bermula dengan pemahaman bahawa manusia rasional hidup dan menerima manfaat daripada sebuah alam semesta yang baik, susulannya adalah bahawa orang-orang tertentu mungkin memperoleh banyak kepuasan daripada perbuatan-perbuatan yang dianggapi mereka akan menyebabkan dunia ini menjadi satu tempat yang lebih baik.